Monday, November 16, 2009

MENANTU SENDIRI MAHU GULING NIK AZIZ??

“Seingatan saya perkara itu bukan topik untuk mengguling tapi membincangkan masa depan parti, pimpinan masa depan parti,” itulah kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika ditanya mengenai dakwaan beliau ada sama dalam satu pertemuan dimana menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman bercakap tentang rancangan untuk menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dakwaan yang mengemparkan itu dibuat oleh bekas Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam tulisan di laman blognya http://kickdefella.wordpress.com Ahad.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang ditemui di ruang rehat Ahli Parlimen petang Isnin mengakui pertemuan di Hotel Perdana Kota Bharu itu memang ada tetapi perbualan mereka bukan berkisar pada sesuatu yang spesifik .

“Seingatan saya tidak ada sampai ke situ (guling sesiapa) . Itu hanya sembang bukan satu spesifik. Saya hampir tidak ingat semuanya akan peristiwa itu tapi pertemuan itu memang ada. Seingatan saya dan untuk saya berlaku adil bahawa singatan saya hari ini tidak ada agenda ke arah penggulingan itu,” katanya.

Menjelaskan kenapa isu kepimpinan parti berbangkit dalam perbualan itu, Salahuddin berkata, pada ketika itu nama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa disebut-sebut sebagai pemimpin masa depan parti tetapi tidaklah sampai kepada soal menggulingkan kepimpinan.
Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang mendakwa beliau tahu mengenai rancangan Ariffahmi hendak gulingkan Haji Hadi kerana masa dalam pertemuan bersama menantu Nik Aziz itu dia duduk di sebelah Salahuddin.
Sepanjang tempoh kira-kira 15 minit menjawab soalan Agendadaily, Salahuddin amat berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan menjelaskan adalah sifat semulajadi beliau tidak mudah untuk memperkatakan sesuatu yang buruk membabitkan kepimpinan parti.
“Apa yang dia (Syed Azidi ) tulis tentang saya adalah betul. (sepanjang pertemuan itu) saya diam. Saya tak pernah cerca pemimpin di khalayak awam,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai sejauh mana beliau mengenali Syed Azidi dan Ariffahmi, Salahuddin menjelaskan beliau tidak rapat dengan mereka tetapi menyifatkan keduanya sebagai kenalan yang boleh berbual mesra.
Katanya beliau hanya mengenali Syed Azidi setelah beliau bekerja di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi mengendalikan media baru dan tidak tahu lebih lanjut tentangnya seperti sama ada dia bekerja di bawah arahan Husam atau sesiapa.
Ditanya pandangannya berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Syed Azidi yang mengambarkan seolah menantu Mursyidul Am PAS itu sangat jahat itu, Salahuddin hanya menyatakan “tidaklah sampai begitu”.
Disusuli dengan persoalan apakah tulisan Syed Azidi berkenaan mempunyai asas “saya tidak tahu apakah latarbelakang dan kenapa dia tulis begitu”.
Diajukan persoalan apabila namanya turut disebut dalam pendedahan melalui blog Kickdefella seolah-olah mengesahkan andaian memang beliau terbabit dalam usaha untuk menjatuhkan Haji Hadi kerana hubungan rapatnya dengan Nik Aziz, Salahuddin berkata sekalipun beliau seorang ahli parlimen di Kelantan tetapi dalam masa setahun cuma beberapa kali sahaja beliau bertemu Nik Aziz.

“Saya juga memang jarang ke pejabat Menteri Besar…”,katanya.

Mengulangi ulasan beliau mengenai isu-isu yang berbangkit itu, Salahuddin berulang kali menyatakan beliau tidak dapat ingat semua yang dibincangkan pada pertemuan berkenaan tetapi “perkataan guling itu saya tidak ingat”.
“Benda dah lama saya tidak mampu ingati setiap patah perkataan perbincangan,” tambah beliau
Ditanya adakah beliau akan berjumpa dengan Ariffahmi bagi mendapat penjelasan mengenai perkara berkenaan, “nantilah kalau saya balik (Kelantan) mungkin saya akan jumpa,” ujar beliau.

Ditanya pula adakah Presiden PAS yang kebetulan hadir di Parlimen petang Isnin berjumpa dengannya bertanya mengenai tulisan Syed Azidi itu,beliau berkata , “tidak”.

Salahuddin memberitahu adalah sebilangan rakan-rakan yang menefelon beliau bertanya tentang soal itu.

Katanya beliau juga telah membaca seluruh tulisan Syed Azidi itu setelah mendapat tahu namanya disebut.

Sementara itu Husam pula yang berada di Parlimen bagi menghadiri mesyuarat pakatan pembangkang ketika diajukan soalan tentang tulisan Syed Azidi enggan memberikan ulasan.
“Itu (pendedahan Syed Azidi) awak kena tanya Kickdefella. Sepanjang dua tahun apa sahaja yang berlaku di Kelantan, semua dikaitkan dengan saya” katanya sambil berlalu meninggalkan wartawan Agendadaily.

Ahli Parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution Ismail yang pernah berkerja dengan Yayasan Tok Kenali di Kelantan dulu pula ketika diaju soalan apakah pendedahan sensasi yang dibuat oleh Syed Azidi itu mempunyai kewibawaan berkata “setakat yang saya kenal…beliau adalah seorang yang profesional”. –

No comments:

Post a Comment